17 April lalu, Gabungan beberapa kesatuan utama sektor penguatkuasaan sempadan hari ini secara rasmi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Skim Perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), yang diperkenalkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2026. Bantahan itu diputuskan secara sepakat dalam satu pertemuan strategik yang berlangsung di Wisma Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM).
Pertemuan tersebut melibatkan tiga kesatuan utama iaitu KPKSM, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) dan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), selain turut disertai wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Hasil perbincangan, kesemua pihak bersetuju bahawa pelaksanaan skim baharu AKPS menimbulkan kebimbangan serius terhadap kedudukan, hak serta kebajikan anggota di bawah skim perkhidmatan sedia ada.
Menurut kenyataan Presiden KPKSM, Abdul Malek Mohamed Zin, bantahan tersebut bukan bersifat emosi semata-mata, sebaliknya berasaskan prinsip dan lunas undang-undang. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah potensi penyusunan semula perjawatan yang boleh menjejaskan laluan kerjaya anggota, ketidakjelasan dalam penyerapan jawatan sedia ada ke dalam skim baharu, serta kemungkinan berlakunya ketidakseimbangan dari segi gred, kuasa dan fungsi antara agensi terlibat.
Selain itu, kesatuan turut melihat pelaksanaan AKPS sebagai satu perubahan struktur besar yang dilakukan tanpa perundingan menyeluruh dengan pihak berkepentingan, khususnya kesatuan yang mewakili anggota barisan hadapan. Mereka berpendapat bahawa sebarang reformasi melibatkan integrasi fungsi kastam, imigresen dan penguatkuasaan jalan raya perlu dilakukan secara telus, berperingkat, dan mengambil kira implikasi terhadap kebajikan anggota, termasuk aspek elaun, bidang tugas dan keselamatan pekerjaan.
Sebagai langkah susulan, satu memorandum bantahan rasmi yang komprehensif akan dikemukakan kepada pihak kerajaan dalam masa terdekat. Memorandum tersebut dijangka menggariskan tuntutan kesatuan agar pelaksanaan skim AKPS ditangguhkan sementara, dikaji semula secara menyeluruh, serta melibatkan rundingan lebih inklusif bersama semua pihak terlibat.
Dalam masa sama, kesatuan menyeru ahli agar kekal tenang dan bersatu padu, sambil memberi sokongan penuh kepada kepimpinan dalam memperjuangkan hak serta kepentingan anggota. Isu ini dilihat berpotensi menjadi titik penting dalam landskap reformasi agensi penguatkuasaan sempadan negara, khususnya dari sudut tadbir urus dan kesejahteraan penjawat awam.
Bantahan Cerminan Ketidakselesaan Terhadap Reformasi?
Bantahan serentak oleh tiga kesatuan utama ini juga boleh ditafsirkan sebagai tanda ketidakselesaan terhadap perubahan struktur besar yang dibawa melalui penubuhan AKPS. Dalam konteks ini, AKPS dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memperkemaskan kawalan sempadan melalui pendekatan lebih bersepadu, berdisiplin dan berakauntabiliti tinggi.
Selama ini, kelemahan koordinasi antara agensi di pintu masuk negara sering menjadi isu yang dibangkitkan — termasuk soal ketirisan, penguatkuasaan tidak konsisten dan cabaran integriti. Justeru, langkah memperkenalkan satu agensi tunggal seperti AKPS boleh dilihat sebagai usaha menutup ruang kelemahan tersebut, sekali gus meningkatkan tahap ketegasan dan kecekapan operasi.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), atau Malaysia Border Control and Protection Agency (MCBA), telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 2025 dengan fokus awal melibatkan 22 pintu masuk utama negara. YDH CP Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah pertama bagi menerajui agensi tunggal di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini.
Sepanjang tempoh awal penubuhan tersebut, kerajaan telah melaksanakan proses penyelarasan dan penstrukturan semula AKPS secara berperingkat. Justeru, adalah jelas bahawa penyusunan semula fungsi dan perkhidmatan antara jabatan terlibat telah dilaksanakan bagi memastikan operasi kawalan sempadan menjadi lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.
Namun begitu, bantahan yang dibangkitkan ketika ini menimbulkan persoalan kerana proses penubuhan dan penyelarasan AKPS telah bermula sejak 2025. Perkembangan ini memberi gambaran seolah-olah isu yang kini dipertikaikan tidak ditangani lebih awal di peringkat perundingan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap konsistensi pendirian kesatuan dalam menghadapi reformasi ini atau ada pegawai tidak merasa senang kera APKS menghilangkan ‘income’ luar pegawai selama ini.
