Lebih 3,000 penduduk di kawasan Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar, Pulau Pinang kini menikmati kemudahan internet yang lebih stabil dan berkualiti hasil pelaksanaan projek rintis perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G Enam Hala.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil tinjauan beliau ke atas projek tersebut yang dijalankan di Menara Komunikasi Tanjung Asam awal minggu ini, menunjukkan keberkesanan pendekatan itu dalam memperluas liputan internet di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Datuk Fahmi Fadzil, berkata dasar ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ akan dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah capaian internet, termasuk di lebuh raya seluruh negara.
“Ada beberapa lokasi utama sedang dikenal pasti, dan perbincangan sedang dijalankan. Harapan saya, lokasi-lokasi ini dapat dimasukkan dalam fasa kedua Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), memandangkan kebanyakan kawasan tersebut berkemungkinan memerlukan pembinaan menara telekomunikasi.
“Jadi, Insya-Allah, kita akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Menara (MOCN) 4G Enam Hala YES Tanjung Asam, sempena Program Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet di Tanjung Asam, Bayan Lepas.

Projek MOCN ini menyaksikan kerjasama antara pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Malaysia untuk berkongsi infrastruktur rangkaian bagi memastikan capaian yang lebih menyeluruh, cepat dan kos efektif kepada rakyat.
Pendekatan ini sejajar dengan prinsip Kerajaan Madani dalam memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus digital, terutamanya di kawasan yang sebelum ini berdepan masalah liputan internet tidak stabil.