Semua Staff Maybank Bergaji RM3,100 Ke Atas

Semua pekerja Maybank di Malaysia kini menerima pendapatan melebihi paras gaji sara hidup sebanyak RM3,100 sebulan, seperti yang ditetapkan dalam Panduan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini juga selaras dengan seruan Kementerian Kewangan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menunjukkan kepimpinan dalam usaha memajukan imbuhan yang adil menerusi inisiatif ‘GLC Earnings for a Resilient and United People’ (GEAR-uP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata bahawa komitmen ini adalah sejajar dengan tujuan Maybank sebagai platform berasaskan nilai, dikuasakan oleh tenaga kerja bionik yang menginsankan perkhidmatan kewangan dan menekankan komitmen berterusan terhadap amalan gaji yang adil, inklusif dan mampan.

“Di Maybank, kami percaya bahawa kebajikan dan kesejahteraan pekerja, termasuk bayaran gaji yang adil dan berpatutan bukan sahaja suatu keperluan moral, malah merupakan pemacu kepada kejayaan perniagaan.

“Usaha memastikan semua pekerja kami menerima gaji yang kompetitif dan mampan adalah asas penting dalam membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.

“Ini mencerminkan komitmen mendalam kami terhadap kemakmuran bersama dan nilai-nilai yang berasaskan rangka kerja Ekonomi MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebajikan dan kesejahteraan pekerja merupakan faktor utama yang mendorong kepada hasil positif dalam tinjauan keterlibatan pekerja Maybank.

Indeks Keterlibatan Mampan meningkat kepada 92 peratus pada 2024, mengatasi Norma Syarikat Berprestasi Tinggi Global WTW sebanyak empat peratus.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Maybank kepada pekerjanya, diperkukuh oleh pengiktirafan yang konsisten sebagai majikan pilihan di Malaysia.

Pada 2024, Maybank diumumkan sebagai Pemenang Keseluruhan Anugerah Pilihan Graduan buat tahun ketujuh berturut-turut dan Majikan Pilihan Utama di Malaysia oleh Anugerah Jenama GRADUAN untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Maybank terus komited dalam usaha mewujudkan tempat kerja yang selamat, membolehkan dan inklusif untuk semua pekerjanya, memperkasakan mereka untuk berkembang maju serta cemerlang dalam kerjaya.

Kumpulan turut menyediakan pakej faedah yang menyeluruh dan kompetitif untuk menyokong kesejahteraan holistik pekerja.

Ini termasuk pelbagai opsyen cuti bagi penjagaan anak, ibu bapa, sabatikal dan kesukarelawanan, antara lain – serta perlindungan perubatan yang meluas untuk pekerja dan tanggungan mereka, termasuk bagi kanak-kanak kurang upaya tanpa sekatan umur.

Maybank juga menawarkan sokongan kewangan melalui pelbagai pinjaman/kemudahan pembiayaan pekerja (seperti pinjaman perumahan, kenderaan, telefon bimbit dan keperluan lain) pada kadar yang kompetitif, dan memastikan perlindungan melalui insurans hayat dan kemalangan peribadi serta faedah persaraan.

Selain itu, Maybank menawarkan skim faedah fleksibel yang memperkasakan pekerja untuk menyesuaikan faedah mereka berdasarkan keperluan individu, gaya hidup dan komitmen keluarga.

Untuk terus menyokong kakitangan yang berpendapatan rendah, Maybank melaksanakan pelbagai inisiatif secara berstruktur dan bertumpu untuk meringankan beban harian serta meningkatkan keselamatan kewangan mereka.

Ini termasuk penyediaan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti bantuan perayaan, pinjaman tanpa faedah, dan akses kepada Tabung Kebajikan Kakitangan untuk keperluan perubatan kecemasan atau bantuan bencana.

Maybank juga menyediakan sokongan kukuh untuk keluarga yang bekerja melalui elaun penjagaan anak dan bersalin.

Di samping itu, sokongan pendidikan disediakan untuk anak-anak pekerja, iaitu dari sokongan tahunan kembali ke sekolah serta bantuan kewangan bagi yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Untuk menggalakkan fleksibiliti dan penyesuaian mengikut keperluan pekerja, pekerja juga diberi pilihan untuk mengoptimumkan faedah mereka, seperti menukar caruman KWSP kepada perlindungan perubatan atau menggunakan semula peruntukan pergigian dan optik untuk perbelanjaan berkaitan digital.

Bagi mengiktiraf kepentingan kerjaya yang mampan dan bersedia untuk masa depan, Maybank menerapkan program peningkatan dan penstrukturan semula kemahiran secara sistematik bagi memperkasakan pekerja dengan keupayaan yang berkaitan seperti memberi akses kepada platform pembelajaran digital yang dirangka khusus, pensijilan yang diiktiraf industri dan latihan kemahiran yang selari dengan mobiliti dalaman dan kemajuan kerjaya.

Back To Top